MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Seremban

Kelab Doktor Muda semai amalan cara hidup sihat

SEREMBAN 13 Ogos - Si kecil ini lagaknya cukup meyakinkan. Tutur katanya bagaikan mereka yang berpengalaman dalam bidang perubatan dengan alat stetoskop yang sentiasa tergantung di leher.

Malah khidmat mereka seringkali diperlukan apabila berlaku kes-kes kemalangan mahupun penyakit untuk dirawat terlebih dahulu sebelum menerima rawatan susulan di hospital berdekatan.

Apa yang membezakan adalah dari segi kelulusan yang mana mereka ini hanyalah ahli Kelab Doktor Muda yang masih belajar di sekolah yang berfungsi sebagai pembimbing dan pendorong kepada rakan sebaya dan anggota keluarga ke arah mengamalkan cara hidup sihat.

Penglibatan anak-anak kecil ini sudah pasti memperlihatkan usaha menyuburkan kesedaran murid-murid selain memperkukuhkan penglibatan guru serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan pelajar.

Program Doktor Muda yang diperkenalkan sejak tahun 1989 ini merupakan program promosi kesihatan yang telah mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, berdasarkan Laporan Pencapaian Program Doktor Muda, pada tahun lalu sahaja sejumlah 1,653 sekolah telah menubuhkan kelab berkenaan.

Jelasnya, ia merangkumi 21 peratus daripada bilangan sekolah rendah di seluruh negara yang telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan seramai 44,436 orang murid yang dilantik sebagai Doktor Muda.

"Jumlah ini secara langsung telah memberi manfaat kepada murid sekolah rendah yang telah didedahkan dengan ilmu kesihatan yang disampaikan oleh Doktor Muda menerusi aktiviti pendidikan rakan sebaya," katanya dalam Majlis Penutup Konvensyen Kelab Doktor Muda Kelima dan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Sihat Doktor Muda Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai dekat sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli serta Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesihatan Kementerian Pendidikan, Zainuddin Abas.

Justeru katanya, pihaknya memohon kepada Kementerian Pendidikan sekiranya dapat memberi keistimewaan kepada pelaksanaan Kelab Doktor Muda secara wajib di sekolah.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan itu pihaknya percaya hasil jangka panjangnya akan dapat melahirkan generasi yang sihat, apatah lagi murid-murid adalah pewaris negara dan sewajarnya perhatian perlu diberikan terhadap kesihatan mereka sebagaimana matlamat pelaksanaan Kelab Doktor Muda bagi meningkatkan amalan cara hidup sihat.

"Kita melihat bahawa sekolah merupakan tempat yang paling sesuai bagi mempromosikan kesihatan apatah lagi ia merupakan sebuah institusi terurus, tersusun dan mempunyai kemudahan serta sumber yang oleh dikongsi bersama dalam melaksanakan program itu.

"Dengan penglibatan aktif pelbagai peringkat anggota di Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran saya percaya kedua-dua kementerian kelak akan dapat memperkukuhkan lagi perkongsian bestari dan pelaksanaan program ini," katanya.


sumber:Utusan Malaysia