MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Negeri Sembilan

5 pelajar ditahan bantu siasatan kes pukul rakan

Video mangsa berusia 16 tahun dipukul oleh lima suspek di hadapan sebuah pusat internet di Jempol pada Jumaat lalu mula tersebar di laman sosial.


Seramai lima pelajar sebuah sekolah menengah di daerah Jempol ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar di hadapan sebuah pusat internet di sini.Kes pukul itu dipercayai berlaku pada Jumaat lalu dan rakaman video perbuatan berkenaan yang berdurasi 1:01 minit dipercayai telah tersebar sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, lima pelajar berkenaan dipercayai telah memukul rakan sekolah mereka yang berusia 16 tahun.

“Mereka mula ditahan untuk membantu siasatan sejak semalam apabila ibu mangsa membuat laporan polis sejurus menerima rakaman tersebut daripada kenalannya.

“Mangsa yang lebam anggota badan tidak memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya,” kata beliau dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini hari ini.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditahan mendakwa mereka memukul mangsa kerana dia kerap meminta wang daripada salah seorang rakan mereka.

“Rakan tersebut memaklumkan kejadian sering ‘dipau’ (meminta) oleh mangsa kepada mereka dan akhirnya para suspek menemui mangsa dan memukulnya.

“Pelajar yang ditahan berusia antara 13 hingga 17 tahun,” katanya.

Noorzainy berkata, kes tersebut dianggap selesai selepas kesemua pelajar tersebut ditahan untuk membantu siasatan.

Tambahnya, orang ramai juga diminta tidak menyebarkan rakaman video mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

 

 

Sumber:Utusan malaysia