MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Negeri Sembilan

Buru suami Myanmar

Lelaki warga Myanmar yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) diburu polis selepas disyaki membunuh isterinya di rumah mereka di Taman Ros, Mantin di sini, semalam.

Mohd Rafik Mohd Shukur, 48, bekerja sebagai pembantu stesen minyak di Mantin menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, suspek dipercayai menetak isterinya menggunakan pisau pemotong daging berdasarkan penemuan senjata berhampiran mangsa.

"Kita menerima maklumat 11.15 pagi daripada jiran yang memberitahu wanita warga Indonesia terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah. Siasatan di lokasi turut menemui anak perempuan mangsa berusia empat tahun di sebuah bilik dalam keadaan selamat tetapi trauma.

"Hasil bedah siasat yang dilakukan terdapat tujuh kesan tetakan di bahagian kepala, muka, bahu dan badan mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Balai Polis Nilai di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Jamaludin di talian 013-2935122 atau 06-7991222.

Sumber:mymetro