MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Negeri Sembilan

Jadi pusat sehenti pendidikan

Nilai: Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 membuka peluang kepada belia terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mencari hala tuju pendidikan mereka.

Karnival diadakan selama dua hari di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, menyediakan 150 gerai pendidikan oleh universiti awam, kolej swasta, politeknik, institut kemahiran awam dan kolej komuniti.

Pengunjung, Muhammad Asyraaf Muhammad Nadzri, 18, berkata KPTN menjadi pusat sehenti untuknya memilih institusi pengajian yang menawarkan kursus diminati.

“Saya amat meminati bidang Teknologi Maklumat (IT) dan pernah mencari pusat pengajian yang menawarkan kursus itu.

“Sebelum ini, saya hanya mengetahui beberapa sahaja institusi pengajian yang menawarkan jurusan itu, tetapi apabila datang ke KPTN saya temui banyak institusi yang menawarkan jurusan berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Semarak, di sini, berkata dia bersama rakan berkunjung ke karnival itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang melanjutkan pengajian.

Katanya, ternyata KPTN amat bermanfaat dan memudahkan urusan pelajar untuk membuat perancangan hala tuju.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kepercayaan kepada USIM menjadi tuan rumah dalam menjayakan karnival itu.

“USIM menawarkan 2,500 kekosongan untuk sesi pembelajaran akan datang. Pengunjung juga berpeluang melihat persekitaran, seni bina, infrastruktur dan kemudahan disediakan di sini,” katanya.

KPTN 2017 yang bermula sejak Februari lalu dianjurkan di enam zon di seluruh negara iaitu Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di USIM, semalam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro