MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Negeri Sembilan

MB Negeri Sembilan cetek pengetahuan sejarah - OKC

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengkritik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap 'merosakkan pasaran' dan tidak berpandangan jauh.

Ka Chuan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II berkata, kenyataan bahawa UMNO tidak perlu bergantung kepada parti komponen menunjukkan Mohamad cetek pengetahuan sejarah.

"Semasa memperjuangkan kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman telah berdepan sesetengah pemimpin Melayu seperti Menteri Besar Negeri Sembilan yang berpendapat UMNO sahaja sudah memadai untuk memperjuangkan kemerdekaan dan membentuk kerajaan dengan sendirinya.

"Bapa kemerdekaan kita bagaimanapun bertegas bahawa jika kerajaan tidak dibentuk oleh semua kaum, maka kerajaan itu tidak dapat memimpin semua kaum untuk memajukan negara secara bersama," katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad bahawa UMNO dapat memerintah Negeri Sembilan tanpa bantuan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

Mohamad pada masa yang sama dipetik Sinchew Daily sebagai berkata, lebih baik memberi Senator kepada parti komponen untuk mereka syok sendiri memandangkan parti berkenaan akan kalah walaupun ditawarkan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut menggesa supaya UMNO dibenarkan bertanding dalam semua kawasan yang mempunyai majoriti kaum Melayu.

Kenyataan tersebut segera mengundang kemarahan MCA termasuk Ka Chuan yang bercadang mengkritik Mohamad dalam mesyuarat BN akan datang.

"Parti tunggal yang menguasai kerajaan tidak akan mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum," katanya.

- malaysiagazette