MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Negeri Sembilan

Naik gaji Adun: MB N9 bentang usul Jumaat ini

Kerajaan Negeri Sembilan akan membentangkan usul kenaikan gaji Adun pada persidangan Dun Jumaat ini.
 
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usul mengenai sistem saraan baharu itu mencerminkan keadaan semasa dan tanggungjawab Adun yang semakin bertambah.
   
"Kami menerima (gaji) paling rendah berbanding negeri-negeri lain, sebab itu kami mahu mengkajinya. "Kita mengkaji dari pelbagai sudut. Kita juga perlu menjaga dan meneliti sistem saraan mereka (Adun) supaya tidak berada dalam keadaan kewangan tidak stabil," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
   
Kali terakhir Negeri Sembilan menaikkan gaji Adun ialah pada 2005.

Mohamad berkata, tugas Adun semakin bertambah dan memerlukan mereka bekerja 24 jam.
   
"Apabila kita mengkaji sistem saraan Adun yang ada, kita juga akan bersama-sama melihat sistem saraan pencen Adun," katanya.
   
Beliau berkata, jika usul itu diluluskan oleh Dun, kenaikan gaji dan saraan Adun dan Adun yang telah berpencen akan berkuat kuasa pada Januari tahun hadapan.
   
"Apabila mereka mempunyai satu saraan yang boleh dikatakan dalam keadaan yang baik, mereka boleh menjalankan kerja dan menumpukan segala masa untuk berkhidmat kepada masyarakat di dalam dan luar kawasan masing-masing," katanya.

Sumber:Sinar Harian