MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Negeri Sembilan

Tak suka bos, kamu pergi, bukan bos pergi - MB Negeri Sembilan

Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan menyindir segelintir pemimpin yang tidak suka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meninggalkannya, mengatakan sesiapa yang tidak suka majikan mereka, harus keluar dari organisasi itu, bukan meminta majikan mereka yang keluar.

Ini kerana, kata menteri besar Negeri Sembilan itu, majikan "bukan pilihan" individu.

Menggunakan contoh hubungan antara ibu bapa dan anak, dan pekerja dan majikan, Mohamad berkata, majikan dan ibu bapa tidak boleh dipilih.

"Dalam dunia ada dua benda tak boleh pilih, nombor satu ibu bapa, tak boleh pilih, nombor dua bos.

"Kalau tak suka bos, bos tak boleh pergi, anda pergi," katanya di dalam video berdurasi 44 saat yang dimuat naik portal mesra Barisan Nasional (BN), MyKMU.net di laman perkongsian video YouTube.

Laman berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan lokasi dan masa video berkenaan dirakamkan.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini melaporkan Najib memberi kata dua kepada anggota Kabinet Jumaat lepas supaya meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan usahanya memulihkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik sumber, akhbar berbahasa Melayu itu melaporkan, Najib membuat kenyataan itu sejurus selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota Kabinet.

Akhbar berkenaan turut melaporkan, semasa mesyuarat itu, tiada seorang pun anggota Kabinet berani tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun diberi peluang berbuat demikian.

Menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insider, Najib tidak memberikan kata dua, sebaliknya beliau mengamalkan keterangkuman dan mahukan konsensus daripada rakan Kabinetnya.

"Dalam mesyuarat itu, perdana menteri kata: 'Jika sekiranya, ada antara anda yang tidak selesa dengan perkara ini, sila serahkan atau tulis (surat peletakan jawatan), dan saya akan faham.'

"Jika kamu berada di sana, tidak akan terasa seperti beliau memberi kata dua," kata Nazri.

Nazri berkata, Kabinet turut memutuskan Husni sebagai jurucakap rasmi dalam mana-mana isu yang berkaitan syarikat itu untuk menyelaraskan sebarang kenyataan yang dikeluarkan dan memastikan ia tepat.

– the malaysian insider, 1 Jun, 2015.